lusi bermakna angan-angan. Malah tidak ada
perkatan yang cukup tepat untuk menerangkan makna perkataan ilusi ini.
Angan-angan Mat Jenin pun memiliki asas kerana ketika Mat Jenin
berangan-angan dia sebenarnya sedang membuat sesuatu yang positif
– memanjat pokok kelapa – untuk membuat modal berniaga. Ilusi tidak
memiliki asas. Justeru, lebih tepat kalau saya katakan ilusi ini
angan-angan karut lagi marut.
Harapan juga boleh bertukar
menjadi ilusi jika harapan tidak dibantu dengan usaha dan kerja.
Mengharapkan sesuatu tetapi tidak melakukan apa-apa ialah ilusi. Ini
samalah saperti kesah Pak Lebai yang heboh berlabon hendak ke Mekah
tapi bukan sahaja paspot belum dilamar, malah gambar kad pengenalan pun
belum diambil.
Apa yang menarik ialah ilusi dan harapan ini
boleh berlaku atau dilakukan tanpa pelaburan atau kerja keras. Ilusi
boleh dipasang luas tanpa modal. Mengharap tanpa bergerak. Pada hemat
saya pada tanggal 5 Mei 2013 yang lalu kita melihat ilusi dan harapan
terbarai.
Saya tidak mahu menulis ‘... kan aku dah cakap...’
atau ‘ orang cakap hang tak dengar...’ Tetapi apa yang saheh PRU13 ini
telah memecahkan ilusi dan harapan anak semua bangsa yang ramai. PRU13
yang baru berlalu telah membuktikan bahawa apa yang telah tulis selama
ini bukan tohmah, bukan fitnah bukan kesah dongeng tetapi telah menjadi
fakta.
Babak-babak yang berlaku pada Ahad 5 Mei 2013 semuanya
telah saya tulis. Malah hampir dua tahun – berpuluh-puluh kali saya
telah menulis dan menerangkan secara jujur bahawa pilihan raya yang
dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia ini adalah satu
penipuan. Saya juga secara hitam puteh telah menulis tanpa segan
tanpa silu untuk membuktikan kepada anak semua bangsa bahawa SPR ini
adalah barua setia United Malays National Organisation.
Saya
juga telah menulis berpuluh kali menerangkan bahawa TUGAS asas SPR ialah
untuk memastikan United Malays National Organisation menang atau
sentiasa menang. Tugas ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan
Pendaftaran Negara, dengan kerjasama Mahkamah, dengan kerjasama Peguam
Negara, dengan kerjasama PDRM dan dan dan berpuluh belas jabatan
kerajaan.
Ketua Jabatan dan Pegawai tinggi dalam
lembaga-lembaga ini dipilih bukan kerana mereka berilmu, bukan kerana
mereka sosok yang jujur tetapi kerana mereka akan taat setia dengan
Ketuanan Melayu. Mereka memiliki kepentingan ekonomi untuk memastikan
gerombolan Ketuanan Melayu menang. Jika gerombolan ini tewas maka
bengolan-bengolan yang hidup mewah ini akan kekeringan mata pencarian.
Malah ramai diantara mereka akan didakwa dan besar kemungkinan banyak
yang akan dipenjara.
Justeru, kita melihat tugas menipu ini
telah dilakukan dengan jayanya oleh SPR dalam PRU13 yang baru selesai 5
hari dahulu. Justeru, saya merasa bangga kerana saya telah mengumpulkan
semua tulisan tentang penipuan SPR ini ke dalam sebuah buku – Tipu
Pilihan Raya – Turun Jalan Raya. Dalam buku ini saya telah menulis
secara teperinci tentang cara dan teknik penipuan yang telah dirancang.
Wong Tuck ketua Himpunan Hijau di Bentong telah ditipu dengan teknik
kotak undi masuk bertambah. Calon PKR di Tanah Merah, Nik Mahmud telah
ditipu kerana Borang 14 dan Pacaba dibeli. Bangla telah datang
mengundi. Mat Indon datang mengundi. Peti undi bertukar. Peti undi masuk
lambat. Peti undi jatuh dari helikopter. Borang 14 tidak sampai. Borang
14 tidak ditanda tangan. Undi rosak lebih banyak dari undi menang.
Pengkiraan cara tipu. Semua pekara dan teknik penipuan ini telah saya
tulis. Semuanya telah saya huraikan. Malah buku saya itu akan menjadi
rujukan bagaimana warga Malaysia anak semua bangsa telah ditipu
berkali-kali dalam pilihan raya.
Saya juga telah menulis dan
menerangkan bahawa dalam Dunia Ketiga – pilihanraya belum pernah dapat
mengubah kerajaan. Dalam Dunia Ketiga jika pilihan raya boleh mengubah
apa-apa telah lama pilihan raya diharamkan. Dalam Dunia Ketiga kerajaan
berubah kerana rampasan kuasa tentera. Berubah kerana pemberontakan
bersenjata oleh orang ramai. Para ditaktor yang zalim dan ganas diburu
lari oleh gerakan massa oleh anak muda dan belajar.
Untuk
penjelasan - Dunia Pertama ini maknanya ialah Amerika Syarikat. Dunia
Kedua ialah Eropah Barat . Dunia Ketiga ialah negara-negara Asia, Afrika
dan Amerika Latin. Maka Malaysia termasuk dalam katogeri Dunia Ketiga.
Justeru di mana-mana pun dalam Dunia Ketiga ini watak pilihan raya tidak
pernah berubah.
Suharto dari Jakarta , Marcos dari Manila, Pak
Chung Hee dari Korea Selatan, Mubarak dari Mesir, Zia Ul Haq dari
Pakistan, Zainal Abidin dari Tunisia – adalah contoh-contoh terbaik
bagaimana kerajaan pimpinan mereka hanya dapat diubah melalui gerakan
massa. Apabila rakyat turun ke jalan raya maka barulah para ditaktor ini
dihumbankan. Pilihan raya tidak pernah berjaya mengalah para ditaktor
ini.
Kenapa tidak dapat dikalahkan? Jawabnya senang sahaja. SPR
Mubarak, SPR Marcos, SPR Suharto – telah bekerja siang dan malam untuk
memastikan ‘ boss’ mereka terus memegang kuasa. SPR di Kenya ke, di
Colombia ke , di Mexico ke – semua sama. Menjalankan pilihanraya dengan
menipu.
Sejarah membuktikan bagaimana gerakan massa – anak
muda, pelajar dan warga kota - turun ke jalan raya dan menghalau
Marcos, mengahalau Suharto, menghalau Zainalk Abdin. Sesudah Marcos
dihalau, sesudah Suharto di halau, sesudah Pak Chung Hee di halau –
barulah satu pilihan raya baru dijalankan. Sebuah lembaga Suruhanjaya
Pilihan Raya yang bebas diwujudkan. SPR baru ini dinobatkan untuk
mengendalikan satu pemilihan yang baru. Ini berlaku di Mesir sekarang.
Ini telah berlaku di Pilipina. Di Indonesia pilihan raya mereka Jurdil –
jujur, bebas dan adil.
Hakikatnya , untuk kita di Malaysia
ini , selagi SPR yang dipilih oleh United Malays National Organisation
wujud selagi itu penipuan berlaku. Selagi SPR ini wujud - sampai
kiamat pun – Pakatan Rakyat atau apa apa sahaja parti politik tidak akan
dapat mengalahkan United Malays National Organsiation.
Saya
telah menulis dan menerangkan bahawa yang dilawan oleh penyokong
Pakatan Rakyat bukan parti United Malays National Organisation dan
kuncu-kuncunya dalam Barisan Nasional. Parti Ketuanan Melayu ini telah
lama ‘kaput’. Yang dilawan dan ditentang oleh Pakatan Rakyat adalah
jentera daulah. SPR hanya satu-satunya yang jelas dilihat. Di berlakang
SPR -ada JPN, ada PDRM, ada MKN, SKMM, SPRM dan dan dan. Semua
lembaga ini bersekongkol untuk mewujudkan satu sistem penipuan.
Ada sistem penipuan yang diwujudkan secara berselindung dengan
Undang-Undang Kecil Pilihanraya, dengan undang-undang yang dilulus oleh
Parlimen. Ada penipuan yang dirancang tanpa berselindung. Yang
berselindung dengan undang-undang ini contohnya saperti Pengundi Awal.
Menggunakan dakwat kekal. Menggunakan Borang 14. Yang tidak
berselindung ialah membawa Mat Bangla datang mengundi. Atau Pedatang
Haram daru Burma yang menambah undi Najib di Pekan. Atau Pegwai Atasan
memastikan para soldadu mengundi United Malays National Organisation.
Dakwat kekal terbukti satu penipuan yang terang-terang. Tetapi, kali
ini yang menjadi tulang belakang atau Induk Tipu ialah sistem Pengundi
Awal. Dari sistem inilah mencurah-curah masuk kertas undi yang
memenangkan United Malays National Organisation.
Rasa saya kita
tidak guna terus memperkatakan hal penipuan ini. Penipuan telah jelas.
Saya rasa tidak ada lagi para pembaca yang akan memiliki ilusi bahawa
ada kemungkinan untuk Pakatan Rakyat menang dalam PRU14. Pada 5 Mei 2013
semua ilusi ini pecah berderai. Justeru kuliah 5 Mei wajib dijadikan
kuliah politik untuk kita mendewsa.
Lalu timbul persoalan
hakiki : Apa yang wajib dilakukan sekarang? Pertama orang ramai wajib
sedar bahawa kerajaan Najib Rosmah ini adalah kerajaan haram. Kerajaan
ini tidak ada sokongan rakyat. Undi popular – undi terbanyak – 52% undi
orang ramai telah di menangi oleh Pakatan Rakyat. Justeru orang ramai –
anak semua bangsa – tidak perlu menerima kemenangan United Malays
National Organisation. Orang ramai tidak perlu tunduk dan bertaat setia
kepada Najib dan Rosmah. Dua ekor manusia ini tidak memiliki apa-apa
kelayakan untuk memimpin.
Tidak cukup dengan ini sahaja. Lebih
dari 150,000 anak semua bangsa telah turun ke jalan raya. Mereka
berhimpun di Stadium Kelana Jaya. Jumlah yang sama di Pulau Pinang dan
Ipoh. Gerakan massa saperti ini ini wajib diteruskan. Difahamkan Johor
dan Pahang akan mengadakan perhimpuan yang sama. Setiap kota wajib
mengadakan tunjuk perasaan yang sama. Penolakan orang ramai terhadap
keputusan pilihan raya ini wajib dikekalkan.
Tidak menerima
keputusan PRU13 adalah tepat. Penolakan ini wajib terus diperhangatkan.
Bara kemarahan ini wajib terus dikipas. Ini untuk memastikan kuliah
politik pada 5 Mei 2013 akan terus segar. Cerita-cerita karut untuk
membawa kes ini ke mahkamah juga wajib dijadikan kuliah. SPR dan
bengolan dari Ketuanan Melayu sedang meloncat-loncat mengarahkan Pakatan
Rakyat atau pengundi yang tak puasa hati untuk membawa kes ‘penipuan’
ke mahkamah.
Apa maknanya ini? Kenapa digalakkan bawa ke mahkamah?
Jawapan cukup senang. Bila kes dibawa ke mahkamah maka akan padamlah
kemarahan rakyat. Kes dibawa ke mahkamah akan sekali lagi menimbulkan
ilusi bahawa mahkamah itu boleh menentukan. Rubbish. Hukum dan sifir
politik amat senang. Apa yang disukai oleh musuh ertinya itu jalan
salah. Apa yang dilarang oleh musuh itu jalan betul.
Mahkamah
ini juga adalah sebahagian dari sistem yang bersekongkol dengan SPR
untuk menipu. Justeru, kes ke mahkamah wajib dijadikan satu lagi
kuliah politik bahawa mahkamah adalah alat yang sama saperti SPR.
Mahkamah ini hanya kilang membuat ilusi. Untuk memadamkan ilusi ini
anak semua bangsa wajib meneruskan gerakan jalan raya. Ilusi akan
diganti dengan perbuatan bukan dengan harapan. Tidak ada sesiapa dalam
dunia ini akan mengagihkan Kuasa dan Kebebasan. Kuasa dan Kebebasan
hanya dapat dirampas dengan Perlawanan. Berlawanlah untuk memadamkan
semua ilusi. Hanya dengan melawan baru tercapai kemenangan.
-- hishamuddin rais
No comments:
Post a Comment